Dia ibu yang gigih, gigih membesarkan anak-anak sebagaimana kelaziman seorang ibu, gigih bekerja membantu suami sebagaimana kelaziman seorang isteri. Seorang yang amat lembut tuturkata juga budi bicara.
Rutin hidupnya bermula di subuh hari, menyiapkan segala keperluan untuk suami ke tempat kerja, bergegas menyiapkan anak-anak ke sekolah sebelum dia kemudiaanya bergerak mencari rezeki.
Suatu pagi, terlalu kelam kabut menyediakan segala keperluan keluarga sepertimana lazim. Hujan lebat semalaman menyebabkan semuanya lari dari kebiasaan. Seusai Solat Subuh, si ibu tersedar si anak gadis sulungnya belum bangun bersiap ke sekolah. Bergegas si ibu ke bilik anak gadisnya itu.
Pintu bilik diketuk agak kuat kerana kebiasaannya si anak mengunci pintu bilik. Namun ketukan pertama terus menyebabkan pintu bilik terbuka. Si anak terlupa mengunci pintu bilik rupanya. Bilik gelap. Meraba si ibu mencari suis lampu. Sebaik lampu terpasang, si ibu hampir pitam dan hilang kata kata. Di atas katil, si anak gadis kesayangan berselimut dengan seorang pemuda.....
Si gadis disoal jawab, rupanya saban malam si pemuda menyelinap masuk tanpa diketahui oleh seorang pun penghuni rumah tersebut. Hancur hati si ibu, anak gadis yang ditatang manja, memberi malu kepadanya. Si ayah hampir hilang kewarasan, hampir nyawa si pemuda melayang.
Dalam hancur hati si ibu, keputusan dibuat. Si pemuda wajib bertanggungjawab atau diheret ke pengadilan. Memilih untuk bertanggungjawab, si anak diberhentikan sekolah serta merta dan dinikahkan...
Sayangnya si anak gadis baru berusia.....13 tahun........
p/s: Si Ibu bercerita kepada saya tanpa setitis airmata...saya tahu, lukanya terlalu dalam dan parah, sehingga tangisannya tidak mampu diluahkan...tangisannya hilang di dalam, di dalam jiwa yang luka, di dalam hati yang amat lara....
